Monday, March 5, 2007








RUMAHKU SYURGAKU

Rumahku Syurgaku adalah satu wawasan Islam yang berteraskan ajaran yang dibawa oleh junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. Rumahtangga sebagai satu komponen utama dalam pembentukan sesebuah masyarakat mesti disempurnakan melalui piawai yang sesuai dengan ajaran Islam dan keperluan rohani dan jasmani manusia. Untuk mencapai taraf syurga bagi sesebuah rumahtangga, maka semua rukun atau piawai yang disebutkan perlulah dipenuhi dengan sebaik mungkin. Ia tidak memerlukan perancangan yang rapi dan sikap positif untuk melaksanakannya. Setiap yang gagal memenuhi rukun-rukun dan piawai-piawai tersebut, maka rumahtangganya belumlah dapat mencapai tahap kebahagiaan sebagaimana yang dituntut oleh Islam.



Kebahagiaan adalah sesuatu yang abstrak yang lahir dari hati seseorang. Tanda kebahagiaan antaranya dapat dilihat apabila seseorang itu berasa senang, suka dan gembira melalui raut wajah dan tingkah lakunya. Nilai kebahagiaan itu tidak mungkin dapat diagihkan kepada orang lain. Hadith Rasulullah s.a.w. sangat tepat membayangkan betapa bahagia itu perlu dalam hidup setiap insan. Diriwayatkan daripada An-Nu’man bin Basyir, Rasulullah s.a.w. bersabda:
Maksudnya: “Bahawasanya di dalam tubuh badan manusia ada seketul daging. Apabila ia baik, baik pulalah seluruh badan, tetapi apabila ia rosak, rosak pulalah seluruh badan, Ingatlah ia adalah hati".(Riwayat Bukhari dan Muslim)
Semua orang perlukan kebahagiaan hidup sama ada untuk sementara atau selamanya. Penentuan kebahagiaan berkait rapat dengan sikap, kedudukan dan fahaman seseorang terhadap kebahagiaan. Ada orang beranggapan bahawa kebahagiaan itu boleh dicapai dengan adanya harta dan wang ringgit yang banyak. Ada pula beranggapan kebahagiaan itu ialah mengenepikan hal-hal keduniaan, kemajuan dan kemewahan. Walau bagaimanapun, kebahagiaan seperti ini adalah berkisar kepada faktor kebendaan semata-mata. Apakah kebahagiaan yang sebenar? Dalam hal ini Rasulullah s.a.w. bersabda:
Maksudnya: “Bukanlah kekayaan itu dengan banyaknya harta benda tetapi kekayaan sebenar ialah kaya hati.”(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

rumahku syurgaku


keluarga yang bahagia akan melahirkan insan yang cemerlang dan berakhlak mulia.